Seorang hamba Tuhan

Dalam New King James Version of the Bible disebutkan bahawa:

“Behold! My Servant whom I uphold, My Elect One in whom My soul delights! I have put My Spirit upon Him; He will bring forth justice to the Gentiles. He will not cry out, nor raise His voice, Nor cause His voice to be heard in the street. A bruised reed He will not break, And smoking flax He will not quench; He will bring forth justice for truth. He will not fail nor be discouraged, Till He has established justice in the earth; And the coastlands shall wait for His law.” ― Isaiah 42:1-4

Terjemahannya mengikut Bible Malaysia Alkitab (1996) adalah:

“TUHAN berfirman, ‘Inilah hamba-Ku, yang telah Kukuatkan; seorang yang telah Kupilih, dan yang menyenangkan hati-Ku. Kuasa-Ku telah Kuberikan kepadanya, dia akan membawa keadilan kepada setiap bangsa. Dia tidak akan berteriak ataupun menyaringkan suaranya, dan suaranya tidak akan terdengar di jalan. Dia tidak akan mematahkan buluh halus yang terkulai, ataupun memadamkan pelita yang kelap-kelip. Dia akan mendatangkan keadilan kepada semua orang. Dia tidak akan kehilangan semangat atau putus asa sehingga dia menegakkan keadilan di bumi. Negeri-negeri yang jauh menanti-nantikan ajarannya.” — Yesaya 42:1-4

Ayat di atas menjelaskan bahawa Tuhan akan membangkitkan seorang nabi akhir zaman yang akan menjadi hamba Tuhan. Yesus bukanlah hamba Tuhan yang dimaksudkan. Pada hari ini, jutaan masyarakat Kristian menerima Yesus sebagai ‘anak Tuhan’ dan juga ‘Tuhan’. Mereka menjadikan Yesus orang tengah ketika berdoa dengan Tuhan. Perbuatan seperti ini jelas sekali menunjukkan bahawa orang Kristian sendiri tidak menganggap Yesus sebagai hamba Tuhan. Hal ini berbeza dengan Nabi Muhammad, orang Islam menganggap baginda sebagai manusia biasa yang berpangkat nabi dan rasul. Jutaan Muslim seluruh dunia tidak menyembah Nabi Muhammad sebagaimana orang Kristian menyembah Yesus. Justeru, ayat ‘Inilah hamba-Ku’ yang terdapat pada awal ayat Bible di atas semestinya merujuk kepada Nabi Muhammad, bukannya Yesus.

‘Dia akan membawa keadilan kepada setiap bangsa’ amat selari dengan Nabi Muhammad kerana baginda tidak diutuskan hanya kepada sesuatu kaum, tetapi kepada seluruh manusia. Al-Quran menjelaskan, “Dan tiadalah Kami mengutusmu (wahai Muhammad) melainkan untuk umat manusia seluruhnya…” (Saba’ 34:28). Hal ini sangat berbeza dengan Yesus kerana beliau hanya diutuskan kepada bangsa Israil semata-mata. Injil menegaskan, “Yesus berkata kepada wanita itu, ‘Aku diutus hanya kepada orang Israel yang seperti domba yang sesat.’” (Matius 15:24). Hal yang sama dinyatakan sebagai berikut, “Yesus mengutus dua belas orang rasul itu dengan petunjuk seperti berikut, ‘Janganlah pergi ke daerah orang bukan Yahudi atau bandar orang Samaria. Pergilah kepada orang Israel, yang seperti domba yang sesat.’” (Matius 10:5-6). Justeru, ayat Bible di atas sangat menepati Nabi Muhammad yang diutuskan kepada semua manusia, bukannya Yesus yang hanya diutuskan kepada Bani Israil semata-mata.

Ayat ‘Dia tidak akan mematahkan buluh halus yang terkulai, ataupun memadamkan pelita yang kelap-kelip’ amat bertepatan dengan sifat peribadi Nabi Muhammad. Ayat ini merupakan kiasan yang menggambarkan seseorang yang tidak berdendam dengan mana-mana pihak. Ketika berlaku penaklukan kota Mekah, nabi bersama dengan 10,000 orang sahabat baginda memasuki kota suci tersebut dan meruntuhkan 360 buah berhala di sekeliling Kaabah. Selepas Mekah berjaya dikuasai umat Islam, golongan kafir Quraisy berhimpun menantikan tindakan yang akan diambil oleh Nabi Muhammad terhadap mereka yang menindas orang Islam selama ini. Namun baginda memaafkan semua perbuatan mereka. Hal ini sudah tentu membuktikan bahawa nabi tidak pernah berdendam dengan mana-mana pihak, sekalipun pihak tersebut telah melakukan pelbagai tindakan kejam terhadapnya.

Satu lagi sifat Nabi Muhammad yang amat mengagumkan sebagai seorang pendakwah unggul adalah tidak pernah mengeluh dan menyesal dengan segala malapetaka yang menimpa dirinya. Ketika Abu Talib, bapa saudara baginda meminta baginda supaya berhenti menyebarkan dakwah Islam, baginda dengan tegas berkata, “Demi Allah wahai bapa saudaraku! Sekiranya mereka meletakkan matahari di sebelah kananku dan bulan di sebelah kiriku dengan maksud agar aku meninggalkan pekerjaan dakwah ini sehingga ia tersiar atau aku sendiri akan binasa kerananya, sesekali aku tidak akan menghentikan pekerjaan ini.” Hal ini bertepatan dengan ayat ‘Dia tidak akan kehilangan semangat atau putus asa sehingga dia menegakkan keadilan di bumi’.

Semangat kental ini tidak mungkin akan menyebabkan baginda mengeluh dengan nasib buruk yang menimpa dirinya. Hal inilah yang diisyaratkan oleh ayat ‘dia tidak akan berteriak ataupun menyaringkan suaranya’. Namun Bible menceritakan Yesus pernah mengeluh dan menangisi nasib buruk yang menimpa dirinya, “Yesus berkata kepada pengikut-pengikut-Nya, ‘Hati-Ku sedih sekali sehingga Aku hendak mati rasanya. Tinggallah di sini dan berjagalah dengan Aku.’ Yesus pergi lebih jauh sedikit lalu meniarap di tanah dan berdoa, ‘Ya Bapa, jika boleh, jauhkanlah cawan penderitaan ini daripada-Ku! Tetapi janganlah turut kehendak-Ku, melainkan kehendak Bapa sahaja.’” (Matius 26:38-39). Malah ketika Yesus disalib, beliau kesal kerana dibiarkan seorang diri di palang salib, “Ya Allah-Ku, ya Allah-Ku, mengapa Engkau meninggalkan Aku?” (Matius 27:46).