Mempersiapkan jalan Tuhan
Dalam King James Version of the Bible disebutkan bahawa:
“Behold, I will send my messenger, and he shall prepare the way before me: and the Lord, whom ye seek, shall suddenly come to his temple, even the messenger of the covenant, whom ye delight in: behold, he shall come, saith the LORD of hosts.” ― Malachi 3:1
Terjemahannya mengikut Bible Malaysia Alkitab (1996) adalah:
“TUHAN Yang Maha Kuasa menjawab, “Aku akan mengirim utusan-Ku untuk menyediakan jalan bagi-Ku. Lalu dengan tiba-tiba Tuhan yang kamu cari, akan datang ke Rumah TUHAN. Utusan-Ku yang kamu nanti-nantikan itu akan datang dan mengisytiharkan perjanjian-Ku.” — Maleakhi 3:1
Orang Kristian percaya bahawa ayat di atas merujuk kepada Nabi Yahya yang sebut sebagai John the Baptist atau Yohanes Pembaptis. Namun benarkah dakwaan mereka? Mengikut buku Muhammad in the Bible tulisan Reverend David Benjamin Keldani, dalam bahasa Ibrani ayat di atas berbunyi, “Hineni soleha maleak I ufinna derek e lefanay ufite om yabow el-hek alow ha adown aser-atem meb aqesim umae ak e haberit aser atem hafesim hinneh-b a amar Yehwa Sabaowt.” Kalimat Ibrani yang perlu difokuskan ialah ufinna derek yang bermaksud ‘akan meluruskan dan membersihkan ibadat atau agama’.
Peranan ini tidak akan hanya dilakukan untuk orang Kristian atau Yahudi semata-mata tetapi untuk seluruh umat manusia. Justeru, siapakah nabi yang diutuskan untuk umat manusia seluruhnya? Sudah tentulah Nabi Muhammad. Penganut Kristian menyatakan bahawa Tuhan itu tiga, mereka menjadikan Yesus sebagai orang tengah dalam beribadat kepada Tuhan. Bahkan mereka mengatakan bahawa Yesus adalah anak Tuhan. Begitu juga dengan orang Yahudi yang menganggap Nabi Uzair (Ezra) sebagai anak Tuhan. Justeru, Nabi Muhammad diutuskan oleh Allah untuk membetulkan kesemua kepercayaan syirik ini. Oleh itu, bagindalah yang diisyaratkan oleh ayat Bible di atas sebagai memenuhi peranan ufinna derek tersebut.
Ayat di atas juga ada menyebutkan bahawa ‘Aku akan mengirim utusan-Ku’ atau dengan kata lain, ayat ini menjelaskan bahawa pada akhir zaman nanti, Allah akan mengutus seorang hamba-Nya kepada umat manusia. Perbahasan sebelum ini sudah menjelaskan bahawa ‘hamba Tuhan’ adalah Nabi Muhammad dan bukannya Yesus. Hal ini kerana, penerimaan kedua-duanya oleh manusia sangat berbeza. Yesus dianggap sebagai anak Tuhan manakala Nabi Muhammad sebagai seorang manusia biasa yang berpangkat nabi. Justeru, siapakah yang lebih layak untuk memenuhi gelaran ‘hamba Tuhan’ atau ‘utusan-Ku’ itu? Nabi tersebut akan menyediakan jalan bagi Tuhan. Ayat ini merupakan kiasan yang menggambarkan seseorang yang ditugaskan untuk membawa ajaran baru dari Tuhan dan sekali lagi ia menepati Nabi Muhammad sedangkan Yesus hanya meneruskan undang-undang Nabi Musa sahaja.
Amat menarik untuk dinyatakan, nabi yang bakal dibangkitkan itu akan datang ke Rumah Tuhan secara tiba-tiba dan kedatangannya akan membawa perjanjian daripada Tuhan. Apakah maksud perjanjian Tuhan tersebut? Ia adalah ayat al-Quran berikut, “Katakanlah, ‘Yang benar telah datang dan yang batil telah lenyap.’ Sesungguhnya yang batil itu adalah sesuatu yang pasti lenyap.” (Al-Isra’ 17:81). Tuhan berjanji akan melenyapkan kebatilan kerana sesuatu yang batil itu sudah semestinya akan lenyap. Nabi Muhammad memasuki kota Mekah bersama-sama 10,000 orang sahabat baginda dan telah meruntuhkan 360 buah berhala di sekeliling Kaabah. Ketika memusnahkan berhala-berhala ini, nabi membacakan ayat al-Quran di atas.
Justeru, bagindalah yang dirujuk sebagai utusan Tuhan yang akan mengisytiharkan perjanjian Tuhan dan akan datang ke Rumah Tuhan (Kaabah) dengan membawa kebenaran dan meruntuhkan kebatilan. Allah berfirman, “Sesungguhnya Kami melontarkan yang hak kepada yang batil, lalu yang hak itu menghancurkannya, maka dengan serta-merta yang batil itu lenyap.” (Al-Anbiya’ 21:18).