Datang dari Paran bersama 10,000 pengikut

Dalam King James Version of the Bible disebutkan bahawa:

“And he said, The LORD came from Sinai, and rose up from Seir unto them; he shined forth from mount Paran, and he came with ten thousands of saints: from his right hand went a fiery law for them.” ― Deuteronomy 33:2

Terjemahannya mengikut Bible Indonesia Alkitab (1993) adalah:

“Berkatalah ia: TUHAN datang dari Sinai dan terbit kepada mereka dari Seir; Ia tampak bersinar dari pergunungan Paran dan datang dari tengah-tengah puluhan ribu orang yang kudus; di sebelah kanan-Nya tampak kepada mereka api yang menyala.” — Ulangan 33:2

Ayat di atas menceritakan tentang penyampaian ajaran Tuhan oleh tiga orang nabi agung. Ia bermula dengan Nabi Musa yang begitu sinonim dengan Sinai kerana di situlah tempat beliau menerima wahyu daripada Tuhan. Kemudian ia akan diteruskan oleh Yesus berdasarkan kalimat Seir. Kalimat asalnya adalah Sa’ir, suatu tempat yang berdekatan dengan Jerusalem, tempat beliau dilahirkan. Akhir sekali, ajaran Tuhan akan disempurnakan oleh seorang nabi yang akan muncul dari pergunungan Paran. Justeru, siapakah nabi yang akan muncul dari pergunungan Paran itu?

Untuk menjawab persoalan ini, Reverend David Benjamin Keldani di dalam bukunya Muhammad in the Bible menukilkan, “Dalam konteks ini, dia yang terpilih dikiaskan dengan matahari. Dia bakal datang dari Sinai, terbit dari Seir dan kemudiannya bercahaya dengan sempurna dari Paran. Dia kemudiannya akan muncul bersama-sama dengan sepuluh ribu orang-orang yang suci dengan membawa undang-undang yang tegas laksana api di tangan kanannya. Golongan Yahudi termasuk Yesus tidak mempunyai sebarang kaitan dengan tempat yang bernama Paran. Namun, Siti Hajar bersama anaknya Ismail telah merantau di bumi Beersheba dan kemudian menetap di Paran… Apabila Muhammad dapat dihubungkaitkan dengan keturunan Ismail melalui (anaknya yang bernama) Kedar dan dilantik menjadi rasul di Paran serta kemudiannya memasuki Mekah bersama-sama dengan 10,000 pengikut setianya dan melaksanakan undang-undang bagi seluruh umat manusia, tidakkah ia menampakkan dengan jelas bahawa kenyataan Bible ini terlaksana secara tepat ke atas diri Muhammad?”

Paran atau Faron dalam bahasa Arab merupakan tempat menetap Nabi Ismail seperti yang disebutkan dalam Bible bab Kejadian 21:20, “Allah menyertai Ismael. Anak itu bertambah besar; dia tinggal di padang gurun Paran dan menjadi pemburu yang mahir.” Di tempat yang bernama Paran ini Siti Hajar dan anaknya Ismail ditinggalkan oleh Nabi Ibrahim kerana baginda diperintahkan untuk melaksanakan suatu urusan yang ditetapkan oleh Allah. Pada masa itu, Siti Hajar yang sudah kehabisan sumber air untuk memberi anaknya minum memohon pertolongan Allah dan doanya dikabulkan dengan dikurniakan sebuah telaga kepada mereka.

Kisah ini disebutkan dalam Revised Standard Version of the Bible pada bab Genesis 21:15-19, “When the water in the skin was gone, she cast the child under one of the bushes. Then she went, and sat down over against him a good way off, about the distance of a bowshot; for she said, “Let me not look upon the death of the child.” And as she sat over against him, the child lifted up his voice and wept. And God heard the voice of the lad; and the angel of God called to Hagar from heaven, and said to her, “What troubles you, Hagar? Fear not; for God has heard the voice of the lad where he is. Arise, lift up the lad, and hold him fast with your hand; for I will make him a great nation.” Then God opened her eyes, and she saw a well of water; and she went, and filled the skin with water, and gave the lad a drink.”

Terjemahan mengikut Bible Malaysia Alkitab (1996) adalah, “Apabila air di dalam kirbat (kantung air) sudah habis, Hagar meletakkan anaknya di bawah belukar, lalu pergi duduk kira-kira 100 meter dari tempat itu. Dia berkata dalam hati, “Aku tidak sanggup melihat anakku mati.” Lalu dia menangis. Allah mendengar suara Ismael dan dari langit, malaikat Allah berkata kepada Hagar, “Apakah yang engkau susahkan, Hagar? Janganlah takut. Allah sudah mendengar tangisan anakmu. Pergilah kepada anakmu, angkatlah dan tenangkanlah dia. Aku akan menjadikan keturunannya suatu bangsa yang besar.” Kemudian Allah membuka mata Hagar sehingga dia nampak sebuah perigi. Oleh itu dia pergi mengisi kirbat itu dengan air, kemudian dia memberikan minuman kepada anaknya.” (Kejadian 21:15-19).

Dalam buku Muhammad in the Bible dijelaskan bahawa Paran sebenarnya adalah Mekah dan di situ memang terdapat sebuah perigi yang dikenali sebagai telaga ‘zam-zam’ kurniaan Allah kepada Siti Hajar dan Ismail, anaknya. Telaga ini masih lagi wujud hingga kini. Nabi Muhammad berasal daripada bumi yang sama. Selepas 13 tahun menyebarkan Islam di Mekah, baginda terpaksa berhijrah ke Madinah. Lebih kurang 8 tahun selepas berhijrah, pada hari penaklukan kota Mekah, baginda kembali memasuki dan menguasai kota suci itu bersama-sama dengan 10,000 orang sahabat-sahabatnya. Nabi Muhammad menegakkan undang-undang Islam dengan mendirikan sebuah negara Islam pertama di Madinah yang berdaulat. Sebaliknya, Yesus bukan berasal dari bumi Paran dan beliau juga tidak pernah datang dengan membawa undang-undang atau syariat baru. Beliau sekadar meneruskan syariat yang dilaksanakan oleh Nabi Musa seperti yang disebutkan dalam Injil, “Janganlah menganggap bahawa Aku datang untuk menghapuskan Taurat Musa dan ajaran nabi-nabi. Aku tidak datang untuk menghapuskannya, tetapi Aku datang supaya semua ajaran itu berlaku.” (Matius 5:17).

Terdapat tokoh-tokoh ilmu Bible yang cuba menafsirkan kalimat ten thousands of saints sebagai ‘sepuluh ribu malaikat’. Hal ini ternyata salah kerana kalimat saints adalah perkataan yang sentiasa digunakan untuk merujuk kepada sifat manusia. Justeru, Bible Indonesia Alkitab menafsirkannya sebagai ‘puluhan ribu orang yang kudus’. Kalimat ten thousands atau ‘sepuluh ribu’ sangat selari dengan jumlah sahabat-sahabat Nabi Muhammad yang menguasai Mekah. Seperkara lagi yang hangat diperdebatkan adalah maksud sebenar kalimat ten thousands. Adakah ia bermaksud ‘satu jumlah yang besar iaitu puluhan ribu’ seperti yang disebutkan dalam Bible Indonesia Alkitab atau ‘sepuluh ribu’ secara mutlak? Apabila diterima maksudnya sebagai ‘satu jumlah yang besar iaitu puluhan ribu’, ia tetap tiada kaitan dengan Yesus kerana pengikut beliau yang dikenali sebagai apostles di dalam Injil hanya berjumlah 12 orang sahaja. Sebaliknya, pengikut-pengikut setia Nabi Muhammad iaitu para sahabat baginda berjumlah puluhan ribu orang.

Apabila kita merujuk kepada tulisan Bible yang asal dalam bahasa Ibrani, kalimat asal yang digunakan untuk terjemahan kalimat ten thousands adalah rbabah. Tokoh-tokoh dari Institute of Creation Research yang dianggotai oleh tokoh-tokoh Kristian daripada pelbagai bidang menegaskan, “Perkataan rbabah dalam bahasa Ibrani dapat difahamkan sebagai 10,000 secara mutlak ataupun satu jumlah yang besar.” Berdasarkan hal ini, tafsiran ten thousands sebagai ‘sepuluh ribu’ secara mutlak adalah selari dengan kehendak Bible dalam bahasa Ibrani seperti yang disebutkan oleh tokoh-tokoh dari Institute of Creation Research.

Ayat Bible ‘tampak bersinar dari pergunungan Paran’ sangat selari dengan Nabi Muhammad. Baginda menerima wahyu pertama di Gua Hira dan itulah dimaksudkan dengan pergunungan Paran, iaitu salah satu gunung atau bukit di Mekah. Malah jika ditinjau dari segi geografi, memang sudah diketahui bahawa Mekah dikelilingi dengan gunung-ganang di sekelilingnya. Nabi Muhammad adalah penghulu bagi nabi-nabi dan rasul dengan membawa satu ajaran yang lengkap dan sempurna iaitu Islam. Undang-undang yang dibawa berjaya ditegakkan melalui rang undang-undang yang dikenali sebagai Piagam Madinah. Hal inilah yang dimaksudkan dengan ayat ‘di sebelah kanan-Nya tampak kepada mereka api yang menyala’. Ayat Bible ‘dan datang dari tengah-tengah puluhan ribu orang yang kudus’ pula selari dengan 10,000 sahabat baginda yang berjaya membebaskan kota Mekah daripada belenggu syirik pada hari Jumaat, 10 Ramadan tahun ke-8 Hijrah.

Selepas kota Mekah jatuh ke tangan umat Islam, golongan kafir Quraisy telah berhimpun untuk menantikan hukuman yang bakal dijatuhkan oleh Nabi Muhammad di atas segala perbuatan keji yang mereka lakukan selama ini. Kisah sejarah ini dipaparkan dengan jelas dalam New King James Version of the Bible pada bab Jude ayat 14 hingga 15, “Now Enoch, the seventh from Adam, prophesied about these men also, saying, “Behold, the Lord comes with ten thousands of His saints, to execute judgment on all, to convict all who are ungodly among them of all their ungodly deeds which they have committed in an ungodly way, and of all the harsh things which ungodly sinners have spoken against Him.” Terjemahan mengikut Bible Indonesia Alkitab (1993) adalah, “Juga tentang mereka Henokh, keturunan ketujuh dari Adam, telah bernubuat, katanya: “Sesungguhnya Tuhan datang dengan beribu-ribu orang kudus-Nya, hendak menghakimi semua orang dan menjatuhkan hukuman atas orang-orang fasik kerana semua perbuatan fasik, yang mereka lakukan dan kerana semua kata-kata nista, yang diucapkan orang-orang berdosa yang fasik itu terhadap Tuhan.” (Yudas, ayat 14 hingga 15).

Sekali lagi ayat ‘beribu-ribu orang kudus-Nya’ digunakan dalam ayat di atas. Sesiapa yang mengkaji sejarah Nabi Muhammad akan menyedari bahawa kisah yang dipaparkan ini sangat selari dengan sejarah baginda dan 10,000 orang sahabatnya semasa mereka menakluki kota Mekah demi menegakkan kebenaran dan meruntuhkan kebatilan serta kefasikan. Selepas kota Mekah berada di bawah kekuasaan tentera Islam, golongan kafir Quraisy berasa gelisah menantikan hukuman yang bakal dijatuhkan oleh Nabi Muhammad ke atas mereka. Namun, baginda mengampunkan kesemua kesalahan mereka dan ini merupakan salah satu tanda kenabian yang ada pada diri baginda. Justeru, kisah yang dipaparkan oleh Bible ini tidak ada kaitan langsung dengan sejarah hidup Yesus.