Perjanjian Tuhan dengan bangsa Arab
Walaupun naskhah Bible hari ini tidak boleh diterima sebagai kata-kata Tuhan secara keseluruhannya, namun masih terdapat sebahagian kecil ayat-ayatnya yang masih selari dengan al-Quran terutamanya yang berhubung dengan kebangkitan Nabi Muhammad sebagai manusia agung dan rasul akhir zaman. Justeru, ayat-ayat ini perlu ditapis, dikaji dan dimanfaatkan sebaik mungkin sebagai hujah untuk membuktikan kebenaran kerasulan Nabi Muhammad.
Mengikut Bible bab Genesis 17:18 dinyatakan bahawa Nabi Ibrahim pernah berdoa kepada Tuhan supaya memberkati kehidupan anaknya yang bernama Ismail. Di dalam Revised Standard Version of the Bible ayatnya adalah, “And Abraham said to God, “O that Ishmael might live in thy sight!” Mengikut Bible Indonesia Alkitab terjemahannya adalah, “Lalu Abraham berkata kepada Allah, ‘Ah, sekiranya Ismael diperkenankan hidup di hadapan-Mu!’” (Kejadian 17:18). Lalu Allah mengabulkan permintaan baginda, “As for Ishmael, I have heard you; behold, I will bless him and make him fruitful and multiply him exceedingly; he shall be the father of twelve princes, and I will make him a great nation.” (Genesis 17:20). Terjemahannya mengikut Bible Malaysia Alkitab (1996) adalah, “Aku sudah mendengar permintaanmu untuk Ismael. Oleh itu Aku akan memberkati dia dan memberi dia banyak anak dan keturunan. Dia akan menjadi nenek moyang dua belas ketua suku, dan Aku akan menjadikan keturunannya suatu bangsa yang besar.” (Kejadian 17:20).
Kisah yang disebutkan di dalam Bible ini tentang hidup Nabi Ismail yang diredai di sisi Tuhan sangat selari dengan al-Quran. Allah berfirman yang bermaksud, “Dan dia (Ismail) menyuruh ahli keluarganya mengerjakan sembahyang dan menunaikan zakat dan dia adalah seorang yang diredai di sisi Tuhannya.” (Maryam 19:55).
Dalam bab Genesis 21:17-18 disebutkan tentang janji Tuhan untuk menjadikan keturunan Nabi Ismail sebagai suatu keturunan yang besar dan hebat. Mengikut Bible Malaysia Alkitab ayatnya adalah, “Allah mendengar suara Ismael dan dari langit malaikat Allah berkata kepada Hagar, “Apakah yang engkau susahkan, Hagar? Janganlah takut. Allah sudah mendengar tangisan anakmu. Pergilah kepada anakmu, angkatlah dan tenangkanlah dia. Aku akan menjadikan keturunannya suatu bangsa yang besar.” (Kejadian 21:17-18).
Nabi Muhammad berasal daripada keturunan Nabi Ismail yang melahirkan bangsa Arab manakala Nabi Isa al-Masih (Yesus Kristus) berasal daripada keturunan Nabi Ishak yang melahirkan bangsa Israil atau Yahudi. Ayat Bible di atas jelas menunjukkan bahawa Tuhan akan menjadikan keturunan Nabi Ismail sebagai suatu bangsa yang hebat, unggul dan masyhur. Akhirnya, janji Tuhan tersebut terlaksana apabila lahirnya Nabi Muhammad sebagai rasul akhir zaman dan penutup sekalian nabi dan rasul.