Pendahuluan
Penganut agama Yahudi dan Kristian pada hari ini tidak mengakui bahawa pada akhir zaman nanti, Tuhan akan membangkitkan seorang lagi nabi yang akan bertanggungjawab menyempurnakan rangkaian ajaran Ilahi. Mereka sedaya upaya menyembunyikan hakikat kebenaran ini dan hal ini telah disentuh oleh al-Quran sebagaimana maksud firman Allah, “Dan janganlah kamu campur adukkan yang benar itu dengan yang salah, dan janganlah kamu sembunyikan yang benar itu padahal kamu mengetahuinya.” (Al-Baqarah 2:42).
Ayat ini merujuk kepada sikap Ahli Kitab iaitu Yahudi dan Kristian yang cuba menyembunyikan kebenaran Nabi Muhammad sebagaimana yang telah disebutkan di dalam kitab Taurat dan Injil yang ada pada sisi mereka walaupun mereka mengetahui kebenarannya.
Kitab Taurat dan Injil yang ada sekarang di tangan kaum Yahudi dan Kristian telah diselewengkan oleh mereka. Justeru, mereka menamakan naskhah yang sudah diselewengkan itu sebagai ‘Bible’ dalam bahasa Inggeris atau ‘Alkitab’ dalam bahasa Melayu. Walau bagaimanapun, masih terdapat beberapa ayat di dalamnya yang jelas menceritakan tentang kedatangan Nabi Muhammad sebagai rasul akhir zaman. Hal ini ditegaskan dalam ayat al-Quran berikut, “(Iaitu) orang-orang yang mengikut rasul, nabi yang ummi, yang mereka dapati tertulis (namanya dan sifat-sifatnya) di dalam Taurat dan Injil yang ada pada sisi mereka.” (Al-A’raf 7:157).
Justeru, adalah menjadi tanggungjawab umat Islam untuk mengeluarkan ayat-ayat ini dan seterusnya membuktikan kebenaran Nabi Muhammad sebagai rasul akhir zaman.