Nabi yang “ummi”
Dalam King James Version of the Bible disebutkan bahawa:
“And the book is delivered to him that is not learned, saying, Read this, I pray thee: and he saith, I am not learned.” ― Isaiah 29:12
Terjemahannya mengikut Bible Indonesia Alkitab (1993) adalah:
“Dan apabila kitab itu diberikan kepada seorang yang tidak dapat membaca dengan mengatakan: “Baiklah baca ini,” maka ia akan menjawab: “Aku tidak dapat membaca.” — Yesaya 21:16-17
Nabi Muhammad adalah seorang yang ummi. Ummi bermaksud tidak tahu membaca dan menulis. Semasa berumur 40 tahun, baginda mengasingkan diri atau bertahannuth di Gua Hira’. Di situlah baginda didatangi oleh malaikat Jibril yang menyuruh baginda supaya membaca. Baginda menjawab, “Aku tidak tahu membaca.” Sebanyak tiga kali Jibril mengulangi suruhan yang sama dan baginda tetap memberikan jawapan yang serupa. Namun pada kali yang terakhir baginda berkata, “Apa yang perlu aku baca?”
Maka turunlah wahyu pertama kepada baginda, “Bacalah dengan nama Tuhanmu yang menciptakan. Dia menciptakan manusia daripada segumpal darah. Bacalah, dan Tuhanmu adalah Tuhan Yang Maha Mulia.” (Al-‘Alaq 96:1-3). Ayat Bible yang diapaparkan ini sangat selari dengan dengan apa yang berlaku ke atas Nabi Muhammad yang ummi ketika baginda mengasingkan diri seorang diri di Gua Hira’ dan pada masa itu juga, wahyu pertama diturunkan kepada baginda. Sebaliknya, Yesus tidak pernah dikenali sebagai seorang yang ummi.
Baru-baru ini, seorang paderi Katolik Roma dari Sri Lanka iaitu Father George Anthony telah memeluk Islam. Beliau sudah menjalani latihan sebagai seorang paderi selama 10 tahun sebelum berkhidmat di Gereja Katumayaka, Sri Lanka. Antara ayat-ayat Bible yang mengagumkan beliau tentang kebenaran Nabi Muhammad dan ajaran Islam yang dibawa oleh baginda ialah ayat daripada bab Yesaya ini. Mengikut beliau, ayat ini jelas menunjukkan kebenaran Nabi Muhammad sebagai rasul akhir zaman.