Bercakap dengan nama Tuhan

Dalam King James Version of the Bible disebutkan bahawa:

“And it shall come to pass, that whosoever will not hearken unto my words which he shall speak in my name, I will require it of him.” ― Deuteronomy 18:19

Terjemahannya mengikut Bible Malaysia Alkitab (1996) adalah:

“Nabi itu akan berkata-kata demi nama-Ku, dan Aku akan menghukum setiap orang yang tidak mahu taat kepadanya.” — Ulangan 18:19

Ayat Taurat di atas menceritakan seorang nabi yang bakal dibangkitkan pada akhir zaman. Antara sifat-sifat nabi itu adalah Tuhan akan memasukkan firman-firman-Nya ke dalam mulutnya supaya disampaikan kepada manusia dengan tepat sebagaimana yang diwahyukan kepadanya. Nabi itu akan menyampaikan firman-firman Tuhan dengan menggunakan nama Tuhan. Ramai penganut Kristian menjadikan ayat di atas sebagai dalil yang menunjukkan bahawa nabi akhir zaman yang dimaksudkan oleh ayat di atas adalah Yesus dan tidak akan muncul lagi nabi selepas beliau.

Hal ini boleh disangkal kerana Injil yang wujud sekarang ini bukanlah firman-firman Allah yang sebenarnya sebagaimana yang diwahyukan kepada Yesus. Injil hari ini adalah terdiri daripada ayat-ayat yang dikarang dan diolah oleh manusia biasa mengikut gaya mereka masing-masing. Sebagai contoh, dalam Bible terjemahan bahasa Inggeris, Injil sering dirujuk kepada penulisnya seperti The Gospel According to Matthew, The Gospel According to Mark, The Gospel According to Luke dan The Gospel According to John. Dalam Bible Alkitab Malaysia, ia dirujuk sebagai Injil Matius, Injil Markus, Injil Lukas dan Injil Yohanes. Namun, tidak ada satu pun yang disebut sebagai Injil Yesus atau Injil Isa al-Masih. Hal ini menunjukkan bahawa Injil yang ada kini bukanlah Injil yang diturunkan kepada Yesus tetapi sebuah kitab yang dikarang dan diolah oleh manusia biasa.

Contoh akurat lain, Lukas mengakui bahawa dia sendiri yang menulis Injil untuk disampaikan kepada orang lain, “Tetapi sekarang, Tuan Teofilus yang terhormat, saya sendiri telah menyelidiki semua peristiwa itu dari permulaannya, maka ada baiknya saya juga menulis satu laporan yang teratur untuk tuan.” (Lukas 1:3). Hal ini menunjukkan bahawa Injil sebenarnya ditulis oleh manusia dan bukannya firman Tuhan yang disampaikan kepada Yesus. Lebih-lebih lagi semua Injil ditulis selepas Yesus tiada.

Dalam Injil terdapat beberapa ayat yang saling bercanggah antara satu sama lain. Sebagai contoh, “Ketika Yesus dan pengikut-pengikut-Nya meninggalkan Yerikho, banyak orang mengikut mereka. Dua orang buta yang duduk di pinggir jalan mendengar bahawa Yesus sedang lalu di situ. Mereka mula berseru, “Ya Anak Daud, kasihanilah kami!” (Matius 20:29-30). Namun, dalam ayat yang lain dinyatakan pula, “Mereka tiba di Yerikho. Ketika Yesus meninggalkan kota itu dengan pengikut-pengikut-Nya dan orang ramai, ada seorang buta yang duduk minta sedekah di pinggir jalan. Namanya Bartimeus anak Timeus. Apabila orang buta itu mendengar bahawa yang sedang lalu di situ adalah Yesus orang Nasaret, dia mula berseru, “Yesus, Anak Daud! Kasihanilah hamba!” (Markus 10:46-47). Percanggahan ini tidak sepatutnya berlaku jika benar Injil adalah firman Tuhan kerana Tuhan tidak akan menyebabkan percanggahan seperti itu.

Malah terdapat ramai tokoh-tokoh Kristian yang mempertikaikan kewibawaan Bible sebagai firman Tuhan. Mengikut Bishop John S. Spong dari Newark dalam bukunya Rescuing the Bible from Fundamentalism menukilkan, “Catatan St. Paul di dalam Bible bukanlah perkataan Tuhan tetapi perkataan dia sendiri.” Bible seperti yang boleh dibaca pada hari ini ditulis oleh ramai penulis dan mereka seringkali tidak menukilkan tulisan-tulisan mereka dengan tepat. Seorang lagi tokoh Kristian, Bruce M. Metzger di dalam bukunya The Text of the New Testament: Its Transmission, Corruption and Restoration menulis, “Penulis-penulis Bible tidak menyalin dengan tepat segala sumber yang mereka temui, sebaliknya mereka menulis penafsiran mereka sendiri mengenai sumber-sumber itu. Mereka melakukannya kerana berhasrat membetulkan kesilapan penulis-penulis lain, tetapi yang sebenarnya berlaku ialah mereka mendedahkan kesilapan diri mereka sendiri.”

Berbeza dengan Bible, al-Quran adalah himpunan firman-firman suci Tuhan sepenuhnya yang disampaikan ke mulut Nabi Muhammad tanpa sebarang tokok tambah, semakan semula atau pembetulan bahasa oleh manusia. Salah satu ayat al-Quran menjelaskan, “Telah sempurnalah kalimat Tuhanmu (al-Quran) sebagai kalimat yang benar dan adil. Tidak ada yang dapat mengubah kalimat-kalimat-Nya dan Dialah Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.” (Al-An’am 6:115). Hal ini diakui sendiri oleh Profesor Laura Veccia Vaglieri dalam artikelnya bertajuk Apologia dell Islamismo, “Kita mempunyai satu lagi bukti yang menunjukkan al-Quran sebenarnya adalah sebuah kitab daripada Tuhan iaitu melalui teksnya yang kekal asli dan tidak pernah berubad abad berabad, sejak ia mula-mula diturunkan sehinggalah sekarang, malah selama mana alam ini masih wujud.”

Di samping itu, setiap surah kecuali surah at-Taubah dalam al-Quran dimulai dengan kalimat Basmalah iaitu ‘Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang’. Perkara ini sangat selari dengan apa yang disebutkan oleh ayat Bible ‘Nabi itu akan berkata-kata demi nama-Ku’. Bab-bab di dalam Bible tidak dimulakan dengan penyebutan nama Tuhan secara khusus. Justeru, ayat Bible yang dipaparkan di atas sangat jelas menceritakan tentang Nabi Muhammad yang dikurniakan dengan kitab suci al-Quran sebagai firman Tuhan yang sebenarnya dan setiap surah di dalamnya dimulakan dengan penyebutan nama Tuhan Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.