Keturunan Kedar akan dikalahkan

Dalam King James Version of the Bible disebutkan bahawa:

“For thus hath the Lord said unto me, Within a year, according to the years of an hireling, and all the glory of Kedar shall fail: And the residue of the number of archers, the mighty men of the children of Kedar, shall be diminished: for the LORD God of Israel hath spoken it.” ― Isaiah 21:16-17

Terjemahannya mengikut Bible Indonesia Alkitab (1993) adalah:

“Sebab beginilah firman Tuhan kepadaku: “Dalam setahun lagi, menurut masa kerja perajurit upahan, maka segala kemuliaan Kedar akan habis. Dan dari pemanah-pemanah yang gagah perkasa dari bani Kedar, akan tinggal sejumlah kecil saja, sebab TUHAN, Allah Israel, telah mengatakannya.” — Yesaya 21:16-17


Ayat di atas adalah sambungan kisah penghijrahan ke Tema di bumi Arab sebagaimana yang disebutkan sebelum ini. Berhubung dengan Kedar, pengkaji-pengkaji Islam dan Kristian mengesahkan bahawa Kedar atau Qaidhar adalah anak Nabi Ismail. Ibnu Athir di dalam bukunya Al-Kamil fit Tarikh menukilkan, “Kemudian Nabi Ismail mengahwini Saidah binti Madhadh al-Jurhami dan hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan 12 orang cahaya mata iaitu Nabat, Qaidhar, Uzail, Misya, Masma’, Rima, Masy, Aazar, Qathura, Fakas, Thumayya dan Qidman. Daripada kedua-dua anak Nabi Ismail yang bernama Nabat dan Qaidhar ini lahirlah bangsa Arab.” Hal yang sama turut direkodkan di dalam Bible, “Abraham mempunyai dua orang anak lelaki, Ishak dan Ismael. Anak-anak lelaki Ismael menjadi ketua dua belas suku: Nebayot yang sulung, lalu Kedar, Adbeel, Mibsam, Misma, Duma, Masa, Hadad, Tema, Yetur, Nafis, dan Kedma.” (1 Tawarikh 1:28).

A.S. Fulton dalam The International Standard Bible Encyclopedia menulis, “Berbanding kabilah-kabilah daripada keturunan Ismail, Kedar dapat dianggap sebagai yang terpenting dan pada zaman-zaman yang kemudiannya, nama itu dikaitkan dengan seluruh kabilah Arab di padang pasir. Daripada keturunan Kedar ini, para pengkaji Muslim mengaitkan keturunan Nabi Muhammad kepada Nabi Ismail.” Salah satu kabilah yang lahir daripada keturunan Kedar adalah bangsa Quraisy yang begitu berpengaruh di kota Mekah. Kabilah Quraisy banyak menentang Nabi Muhammad sehingga berlakunya hijrah ke Madinah dan Perang Badar. Ayat Bible within a year, according to the years of an hireling, and all the glory of Kedar shall fail atau ‘dalam setahun lagi, menurut masa kerja perajurit upahan, maka segala kemuliaan Kedar akan habis’ sangat sinonim dengan sejarah Perang Badar, kerana ia berlaku pada tahun ke-2 Hijrah, lebih kurang setahun selepas Nabi Muhammad berhijrah ke Madinah.

Peperangan ini dimenangi oleh umat Islam dan pemuka-pemuka Quraisy yang terbunuh dalam peperangan ini adalah seramai 70 orang termasuklah Abu Jahal. Inilah yang dimaksudkan dengan ayat ‘maka segala kemuliaan Kedar akan habis’ atau and all the glory of Kedar shall fail. Kisah ini sangat selari dengan kisah pernghijrahan Nabi Muhammad dan peristiwa Perang Badar. Sebaliknya Yesus tidak mempunyai kaitan sama sekali dengan mana-mana anak Nabi Ismail termasuklah Kedar dan beliau juga tidak pernah berperang dengan mana-mana keturunan termasuklah keturunan Kedar.