Kejadian di bumi Arab dan penghijrahan ke Tema
Dalam King James Version of the Bible disebutkan bahawa:
“The burden upon Arabia. In the forest in Arabia shall ye lodge, O ye travelling companies of Dedanim. The inhabitants of the land of Tema brought water to him that was thirsty, they prevented with their bread him that fled. For they fled from the swords, from the drawn sword, and from the bent bow, and from the grievousness of war.” ― Isaiah 21:13-15
Terjemahannya mengikut Bible Malaysia Alkitab (1996) adalah:
“Inilah perkhabaran TUHAN tentang Arab. Hai orang Dedan, kafilah-kafilah kamu berkhemah di Arab, tanah yang gersang itu. Hai orang Tema, berikanlah minuman kepada orang kehausan yang datang kepada kamu, dan berikanlah makanan kepada orang pelarian. Lihatlah, orang lari daripada pedang yang terhunus, daripada busur yang dilenturkan, dan daripada peperangan.” — Yesaya 21:13-15
Ayat di atas menceritakan tentang kejadian yang bakal berlaku di bumi Arab di mana segolongan manusia ditindas dengan dahsyat sehingga menyebabkan mereka terpaksa berhijrah ke Tema bagi mendapatkan petolongan di sana. Mengikut J. Hastings dalam Dictionary of the Bible pada halaman 897 menjelaskan bahawa Tema adalah nama salah seorang anak Nabi Ismail. Justeru, kisah yang wujud di dalam Bible mengenai Tema berkait rapat dengan keturunan Nabi Ismail di bumi Arab. Seterusnya, J. Hastings menyebutkan, Tema juga adalah nama bagi sebuah tempat yang pada hari ini terletak di sebelah utara Madinah di bahagian barat Semenanjung Tanah Arab.
Ayat ini sangat selari dengan penghijrahan Nabi Muhammad dan para pengikut baginda ke Madinah selepas mereka ditindas dengan kejam oleh golongan kafir Quraisy di bumi Mekah selama 13 tahun. Di Madinah, mereka mendapat bantuan dan pembelaan sewajarnya sehingga akhirnya tertegak sebuah negara Islam yang berdaulat di sana. Tafsiran J. Hastings ini menunjukkan wujudnya kaitan antara ayat Bible ini dengan peristiwa hijrah Nabi Muhammad ke Madinah. Yesus tidak mampunyai sebarang kaitan dengan Tema kerana beliau adalah daripada keturunan Nabi Ishak. Beliau juga tidak pernah berhijrah ke mana-mana apatah lagi di bumi Arab di sebelah utara Madinah. Justeru, ayat ini lebih menepati sejarah perjuangan Nabi Muhammad yang berhijrah ke Madinah demi menegakkan ajaran Tuhan yang suci.