Misteri Barnasha

Dalam Revised Standard Version of Bible disebutkan bahawa:

“I saw in the night visions, and behold, with the clouds of heaven there came one like a son of man, and he came to the Ancient of Days and was presented before him. And to him was given dominion and glory and kingdom, that all peoples, nations, and languages should serve him; his dominion is an everlasting dominion, which shall not pass away, and his kingdom one that shall not be destroyed.” ― Daniel 7:13-14

Terjemahannya mengikut Bible Alkitab (1996) terbitan The Bible Society of Malaysia adalah:

“Dalam penglihatanku pada malam itu, aku nampak sesuatu yang seperti manusia. Dia datang diliputi awan, lalu menghampiri Dia yang hidup selama-lamanya, dan dihadapkan kepada-Nya. Dia diberikan kuasa, kehormatan, dan kedaulatan, agar orang daripada semua bangsa, kaum, dan bahasa mengabdikan diri kepadanya. Kuasanya akan kekal, dan pemerintahannya tidak akan berakhir.” — Daniel 7:13-14

Ayat son of man atau ‘sesuatu seperti manusia’ sebagaimana dalam ayat di atas adalah terjemahan kalimat Ibrani iaitu Barnasha. Hal ini selari dengan Nabi Muhammad kerana jutaan umat Islam seluruh dunia menerima baginda sebagai seorang manusia biasa dan utusan Tuhan yang mulia. Al-Quran turut merekodkan, “Katakanlah, “Sesungguhnya aku ini manusia biasa seperti kamu, yang diwahyukan kepadaku bahawa sesungguhnya Tuhan kamu itu adalah Tuhan Yang Esa.” (Al-Kahfi 18:110). Hal ini berbeza dengan penerimaan Yesus oleh umat Kristian dan Yahudi. Orang Kristian menghina Yesus kerana menganggap beliau sebagai Tuhan dan anak Tuhan. Hal ini boleh dilihat dalam konsep Triniti yang mereka anuti. Orang Yahudi pula enggan menerima Yesus sehingga kini, mereka menganggap beliau adalah anak luar nikah dan ibunya Siti Maryam sebagai perempuan sundal.

Kedatangan Barnasha akan memusnahkan ‘binatang keempat’, iaitu bahasa kiasan yang merujuk kepada Empayar Rom. Sekali lagi ia bukan merujuk kepada Yesus kerana menurut Injil, Yesus menggesa umat Israel supaya membayar ufti kepada Gabenor Rom yang berkuasa ketika itu, Pontius Pilate. Dalam masa yang sama, Yesus tidak pernah berusaha untuk memerangi atau mengusir kekuasaan Rom dari bumi Palestin. Malah ketika disalib, Yesus tidak berusaha untuk melepaskan dirinya apatah lagi menyelamatkan negeri dan kaumnya dari kekuasaan Rom. Hal ini berbeza dengan Nabi Muhammad. Sejarah memaparkan bahawa pemimpin-pemimpin Islam selepas era baginda berjaya meruntuhkan Empayar Rom. Justeru, Barnasha tersebut merujuk kepada Nabi Muhammad kerana baginda adalah anak benih yang menjadi pemangkin kepada kemusnahan Empayar Rom.

Mengikut buku Muhammad in the Bible nukilan Reverend David Benjamin Keldani, ayat di atas juga merujuk kepada peristiwa Israk dan Mikraj Nabi Muhammad yang berlaku pada malam 27 Rejab. Sesetengah pentafsir Bible menyatakan bahawa Barnasha tersebut merujuk kepada malaikat. Namun hal ini disangkal kerana kalimat Ibrani Qaddish atau Qaddush telah digunakan yang membawa maksud ‘manusia suci’ dan ia sebenarnya adalah identiti Nabi Muhammad. Dalam peristiwa Israk dan Mikraj, Nabi Muhammad dibawa menghadap Allah di Sidratul Muntaha, iaitu langit tertinggi. Di sana baginda menerima perintah sembahyang lima waktu. Hal inilah yang diisyaratkan oleh ayat ‘Dia diberikan kuasa, kehormatan, dan kedaulatan, agar orang daripada semua bangsa, kaum, dan bahasa mengabdikan diri kepadanya’.

Sehingga kini, umat Islam masih mengamalkan sunnah atau cara hidup Nabi Muhammad dan ia akan diteruskan buat selama-lamanya. Hal ini menepati ayat ‘Kuasanya akan kekal, dan pemerintahannya tidak akan berakhir’. Namun, ajaran sebenar Yesus sudah diselewengkan dan yang ada pada hari ini bukanlah ajaran Yesus yang asal tetapi ajaran yang direka dan dicipta oleh manusia biasa.